Thursday, October 7, 2010

Cinta atau Nafsu?


Utusan 2 Mac melaporkan: Sebanyak 75,299 kes perceraian direkodkan di seluruh negara pada 2007 dan 2008 termasuk kes-kes tertunggak bagi tahun-tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 64,631 kes dicatatkan pada 2007 yang turut melibatkan tunggakan kes tahun-tahun sebelumnya, manakala sebanyak 10,668 kes dilaporkan tahun lalu.


Harian Metro pula melaporkan: Mengaibkan apabila semakin ramai remaja perempuan beragama Islam di negara ini kehilangan dara pada usia muda. Lebih membimbangkan, segelintir mereka berbangga dengan status itu dan beranggapan remaja yang masih dara sebagai kelompok ketinggalan zaman.


Dan Harakah Daily 16 Feb juga turut melaporkan: Jumlah anak tanpa bapa di Malaysia mencecah 257,411 orang sekarang, sama hebat dengan ancaman penyakit selsema burung atau aedes, kata Senator Muntaz Mohd Nawi. Beliau ketika merasmikan program Hi-Tea anjuran Dewan Muslimat PAS Bayan Baru di Dewan Orang Ramai Sungai Ara semalam juga membidas dasar kerajaan yang tidak serius menangani permasalah tersebut berbanding ancaman penyakit lain termasuk chikunya.



Bismillahirrahmanirrahim.. Maaf, mungkin topik kali ini tidak disenangi oleh semua orang. Anda berhak untuk berhenti membacanya. Walaupun ini adalah perkongsian yang pahit untuk di telan tapi inilah hakikat.

Adam dan Hawa


Manusia pertama yang diciptakan iaitu sang Adam menikmati segala yang indah di syurga. Namun Baginda tetap berasa sunyi dan 'kehilangan'. Akhirnya Hawa diciptakan untuk menemani Adam. Barulah Adam berasa lengkap dan sempurna. Mereka bahagia di syurga dan kemudiannya kerana cintanya kepada Hawa, akhirnya mereka dihukum turun ke bumi. Manusia pertama dan kedua adalah lelaki dan wanita. Saling memerlukan dan saling melengkapi. Masa terus berlalu dan sehingga kini, lelaki dan wanita masih saling memerlukan antara satu sama lain. Masing-masing ada tarikan yang tersendiri. Wallahua'alam.

Kenapa Nikah


Masing-masing pasti ada jawapan yang tersendiri. Kadang-kadang bila niat menyeleweng, bukan bernikah kerana mencari keredhaan Allah, tapi bernikah kerana ingin bermegah-megah, bernikah kerana ingin memuaskan nafsu, bernikah kerana seronok melihat orang lain bernikah, bernikah kerana terpaksa, bernikah kerana ingin memiliki si dia semata-mata, maka masjid yang terbina mudah benar runtuh, terjadilah penceraian. Ramai yang bernikah tanpa berfikir panjang, bernikah dalam keadaan mental dan fizikal yang tidak bersedia, kewangan yang tidak stabil, bernikah tanpa ilmu dan pengetahuan yang cukup menjadi antara sebab punca terjadinya sesebuah penceraian. Wallahua'alam.

Kisah Cinta


Semalam saya mendapat panggilan telefon dari seorang teman lama. Alhamdulillah. 14 Mac ini dia akan mendirikan rumahtangga. Saya gembira untuknya. Panggilan itu juga berjaya mengimbas kembali 'cerita lama'. Bukan untuk mengaibkan si dia, namun saya rasa elok dikongsikan di sini agar dapat menjadi pengajaran dan iktibar buat kita semua. Dia saya namakan A dan bakal suaminya adalah B. A adalah bekas teman serumah saya. Mula-mula bekerja, saya mencari bilik untuk di sewa dan akhirnya melalui iklan yang di tampal di 7E, saya ditakdirkan berkenalan dengan A. Mula-mula berkenalan, A seorang yang bebas bersosial, ramai kawan lelaki dan bebas keluar dengan sesiapa sahaja. Saya juga tak pernah melihat dia solat. dan malangnya waktu itu saya juga kurang kesedaran dalam perkara 'amar makruf nahi munkar'. Sekadar melarang berbasa basi sahaja. A pernah putus cinta. Melalui ceritanya, bekas kekasih dia C ada perempuan lain, dan sebelum ini mereka tinggal bersama/bersekedudukan serta pernah di tangkap basah. Barulah A berpindah ke rumah kami sekarang. Awal-awal saya menetap dengan A, dia sudah bercinta dengan D, tapi turut keluar dengan lelaki lain X, Y, Z (infiniti). Pernah sekali dia lambat datang haid, dia kelam kabut mencari bekas kekasihnya C, buat pregnancy test dan sebagainya. (timbul sedikit syak wasangka..kata ex, tapi masih berhubung ke?) wallahua'alam. Di pendekkan cerita, A bertemu dengan B dan mula serius. B seorang yang baik akhlak. Kerja stabil dan senang mata melihat. Dan beransur2 A mula berubah-positif. Saya mula melihat dia membeli selendang, dan ada masanya dia solat. Alhamdulillah. Lega saya melihat perubahan dia. Dan bila ingin keluar dengan B, A suka menayangkan telekung yangg akan di bawa bersama. Menunjukkan mereka keluar bersama dan solat bila tiba waktunya. ALhamdulillah. sejuk hati saya melihat perubahan positif itu.

Pecah Tembelang


Namun, suatu hari kedua-duanya cemas dan meminta pandangan dari saya. "Kak as, camne nih, A buat pregnancy test td, positif"..Astagfirullahalazim....bagai batu menghempap kepala saya. Rupanya dalam 'baik' mereka.. Ada 'rahsia' yang tersembunyi. dan petangnya si B yang innocent itu juga turut bertemu saya. "Apa nak buat ni Kak As, dah cakap dah dengan A taknak, dia cakap ni last," Si B dengan muka kusutnya meluahkan perasaan, dan saya sedar. Si B telah diperangkap oleh si A secara halus untuk memilikinya.

Seks dan Cinta


Wanita sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan cinta, tapi si lelaki pula sanggup berbuat apa sahaja untuk seks. (tak semua). Si A yang lebih 'berpengalaman' telah merenggut teruna si B. Dan akhirnya berjaya 'mengikat' si B. Atas rasa cinta dan lain-lain sebab, mereka akhirnya merancang untuk berumah tangga. Happy ending tapi ini cuma kes terpencil.


Selepas tembelang mereka pecah, A berpindah keluar dari rumah, diam tanpa berita hinggalah semalam dia kembali menghubungi saya untuk memaklumkan berita gembira tentang pernikahannya. Saya benar-benar gembira untuknya. Setidak-tidaknya dia tidak lagi bergelumang dengan maksiat. Naauzubillah.


Pengalaman kenal dengan ramai orang mendedahkan saya dengan pelbagai 'cerita'. Ada satu lagi kisah. Si wanita, T, yang sudah 'tiada dara' berjaya mendapat cinta si S dengan cara yang serupa. Tiga hari berkenalan, sudah rela hati mengikut si S balik ke rumah dan bila lelaki dan wanita berduaan di sebuah bilik, pastinya ada yang ketiga lalu terjadilah maksiat yang hina. Astaghfirullahalazim..


Bukan itu sahaja, saya pernah kenal dengan seorang gadis, waktu itu dia di tingkatan lima. Saya mengenalinya semasa bekerja part time sewaktu cuti semester. "Kak as, kalau saya ajak dia tidur camne yer?dia nak tak?" Astaghfirullahalazim....ke situ pulak dia fikir. Buaya mana tolak bangkai dik oii..Betapa 'dara' di pandang remeh oleh si gadis. Betapa zina di anggap 'benda biasa' di zaman milennium ini. Naauzubillah..

Teringat zaman pengajian saya di universiti. Pelajar lelaki dan wanita tinggal serumah, pelajar lelaki keluar masuk rumah pelajar wanita, dan ada juga yang 'kantoi' di bilik asrama dan dewan kolej. Astagfirullahalazim..satu kes yang paling gempar semasa saya di universiti adalah seorang naqibah bertudung labuh di tangkap berkhalwat dengan pasangannya di bilik komputer kolej..Aduh~!!Apa lagi yang kurang?


Malang bagi si Juliet yang gagal dalam mengejar cinta. Bukan saja kehilangan 'harta yang paling berharga', lebih dari itu, mereka melakukan dosa besar, kedua-duanya di kenakan tindakan disiplin oleh pihak kolej/universiti, menanggung malu yang tidak terhingga, dan bertambah malang pula apabila si Romeo tidak mahu bertanggungjawab dan menolak untuk bernikah. Hasilnya, si Juliet terpaksa berhenti belajar dan si Romeo pula kembali ke unviversiti semula selepas di gantung tanpa riak rasa bersalah..

Wahai hawa, kenapa harus kita yang menjadi mangsa? "Wanita umpama sebuah rumah yang penuh dengan harta yang bernilai. Jika kita ingin melindungi harta itu, kita sepatutnya mengunci rumah itu dengan sebaik mungkin dan sebaliknya terjadi jika kita membiarkan pintu rumah sentiasa terbuka, pasti sesiapa saja akan dapat menceroboh dan merampas harta yang bernilai itu...pilihan terletak di tangan kita..Wallahua'alam." 

Kesimpulan


Seks dan zina bukanlah perkara remeh dan tidak boleh di pandang enteng. Seharusnya gejala tidak sihat ini di bendung dan di banteras. Jika terus dibiarkan ia ibarat barah yang merosakkan sesuatu bangsa dan agama. Jika ia terus di biarkan, sesebuah institusi pernikahan tidak lagi dipandang tinggi. Susur galur keturunan dan nasab juga menjadi celaru. Anak luar nikah kian bertambah. Kes pengguguran dan buang bayi pula meningkat. Dosa dan pahala dipandang ringan. Syurga dan neraka bagaikan tiada beza. Kita sayang keturunan kita. Kita sayang agama kita. Kita sayang bangsa dan negara kita. Tapi bagaimana kita ingin mengatasi permasalahan ini? Adakah memadai dengan memeluk tubuh dan menggelengkan kepala?


"Janganlah kamu mendekati zina bahawa sesungguhnya ia (zina) adalah kejahatan dan keji perjalanannya"
"Bahawa sesungguhnya solah (sembahyang) itu (berupaya) mencegah (yang mendirikannya) dari melakukan perkara yang keji dan mungkar"

Sedetik dua detik, saya berfikir sendirian..harus bagaimanakah percaturan ini ingin diteruskan?Semoga Tuhan terus memberikan kekuatan dan petunjuk, kepada saya dan seluruh umat manusia.


"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya"


(Mereka berdoa dengan berkata):


"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.


Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
[Al-Baqarah: Ayat286]

Sekian, Wallahua'alam.

>>>>>>>ILUVISLAM<<<<<<<

Nilai Tudung Seorang Wanita

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.


Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.

Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya.

Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam.

Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati).

Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran.

Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki.

Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita.

Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya.

Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

>>>>>>>ILUVISLAM<<<<<<< 

Tips/Panduan Atasi Zina Hati

Selagi dinamakan manusia, kita mempunyai perasaan suka mengasihi dan dikasihi. Memang adat kehidupan bahawa kasih cinta didahului dengan berasa rindu, namun jangan pula rindu berlebihan. Kerinduan kepada kekasih, sering kali membekaskan duka, penyakit menyebabkan kelemahan hati. Kita sebenarnya berperang dengan perasaan. Namun, seorang Muslim akan terasa nikmat jika dapat menjauhi keluhan, kesedihan dan kerinduan ini.

Ibnu Qayyim memberikan terapi mujarab mengenai masalah rindu. Sebelum itu beliau memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan terjadi antaranya: Hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan ibadah kepada Allah sebaliknya membiarkan mata meliar. Pandangan dan renungan mata adalah jalan membawa kepada kesedihan dan keresahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pandangan mata itu satu daripada sekian banyak anak panah iblis.” Setiap penyakit ada ubatnya. Ubat yang terbaik adalah meneguk daripada pengajaran al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “Demikianlah supaya kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba kami yang terpilih.” - (Surah Yusuf, ayat 24)



  • Ikhlas kepada Allah. Ikhlas adalah ubat penyakit rindu. Ikhlas kepada Allah bermakna selalu berusaha berada di pintu ibadah dan memohon kesembuhan daripada Allah. Jika kita ikhlas kepada Allah, Allah akan menolong kita daripada penyakit kerinduan melalui cara tidak pernah terdetik di hati. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan: “Sungguh jika hati telah berasakan manisnya ibadah kepada Allah dan ikhlas kepada-Nya, nescaya ia tidak akan menjumpai hal lain yang lebih manis, indah, nikmat dan baik daripada Allah. Manusia tidak akan meninggalkan sesuatu dicintainya, melainkan selepas memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya.
 
  • Doa mengundang sikap, rasa fakir dan rendah diri di hadapan Allah. Oleh itu doa adalah salah satu bentuk ibadah yang agung. Ketika kita berada dalam kesempitan, kita bersungguh-sungguh dalam berdoa, berasakan Allah amat dekat mendengarkan rayuan.
 
  • Mengurus mata dan pandangan. Pandangan yang berulang-ulang adalah suis penting menyalakan api rindu. Orang yang memandang dengan sepintas lalu jarang berasakan hati terusik dan jatuh. Ibnul Qayyim menyatakan: “Orang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak tertimpa pelbagai kerosakan. Barang siapa yang terjun ke dalamnya maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya.”

  • Bernikah dan membina rumah tangga adalah langkah paling baik. Inilah ubat rindu paling baik. Tidak semestinya bernikah dengan orang yang kita kagumi. Meskipun pernikahan itu dilangsungkan tidak dengan orang dicintai dan diidamkan.

Sunday, October 3, 2010

Kerana CINTA, Aku Tinggalkan Cinta

Sebenarnya sudah lama saya ingin kongsi kisah saya ini dgn sahabat-sahabat sekalian. Tapi , setiap kali laptop saya buka, jari ini jadi kaku untuk menulis. Tapi akhirnya saya nekadkan juga untuk menulis tentang ini. Hati saya bagai ditarik-tarik untuk menulis.Saya sudah tidak berdaya untuk pendam segalanya. Saya bimbang jika makin saya pendam,saya akan makin tersiksa dalam dunia saya sendiri. Doa saya semoga Allah ampuni saya atas segala apa yang saya lakukan ini. Apa yang akan saya coretkan ini adalah sekadar buat tatapan sahabat-sahabat sekalian. Ia adalah pengalaman saya sendiri. Ia hadir dari lubuk hati saya sendiri. Bukan fantasi atau rekaan semata. Saya tidak bermaksud untuk mengeluh apatah lagi mengingkari apa yang telah Allah tetapkan kepada saya.

Kisah ini saya ceritakan supaya apa yang saya lalui tidak berlalu begitu saja tanpa saya kongsi dan tanpa saya rekodkan sebagai panduan bagi diri saya untuk hari-hari kemudian. Ianya terjadi sewaktu saya berada dalam tahun 2 diploma dan si dia berada dalam tahun akhir diploma. Kebetulan kami belajar di tempat yg sama dan dalam jurusan yang sama di Bangi. Saya juga adalah seperti kalian semua. Manusia biasa yang punya fitrah
untuk dicintai dan mencintai. Kamar hati saya ini sepi dan tidak pernah saya isikan dengan cahaya atau cinta dari mana-mana lelaki. Ianya suram dan sepi. Hinggalah akhirnya saya bertemu dengan seseorg.

Pertemuan saya dan dia terjadi sewaktu saya mengikuti aktiviti rehlah kelab. Itu pertemuan pertama. Tidak kenal pun, tapi perkenalan kami bermula hanya melalui sms dan demi Allah , saya ikhlas menghulurkan salam persahabatan padanya hanya kerana Allah. Tapi, semua yang terjadi telah ditakdirkan , dan saya tidak menduga akhirnya saya mula jatuh cinta dengan dirinya. Saya sendiri tidak sedar bila perasaan itu mula bercambah. Demi menjaga maruahnya , cukuplah kalau dia hanya dikenali sebagai “Mukhlis Sadiqy”. Gelaran itu saya sendiri yg berikan padanya kerana pada saya dia merupakan seorang sahabat yang ikhlas. Benarkah? Erm,hanya Allah dan dia saja yang tahu sejauh mana tahap keikhlasannya.

Perwatakannya sopan dan dia fasih berkata-kata, lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal agama. Jalannya hanya menundukkan wajah. Dia seakan-akan takut
untuk bertentang mata dengan wanita. Tindakannya itu wajar kerana dari mata segalanya boleh terjadi. Walaupun antara saya dan dia , kami tidak pernah bersua secara berhadapan, tapi setiap kali bicaranya melalui sms itu menambat hati saya. Saya senang berbicara soal-soal agama dengannya, Namun, iman saya mula goyah, taqwa mula merapuh, nafsu merasuk nurani suci, lalu hati tunduk pada bisikan syaitan nan keji. Hanya sms. Nampak macam baik kan? Tidak pernah berbicara secara berhadapan tapi hanya sms. Sesetengah orang akan berpendapat bahawa cara saya itu betul , tapi sebenarnya ia silap sama sekali. Dan saya akhirnya menyedari kesilapan itu.

Sms itu sebenarnya hanya 1 alasan bagi saya. Ianya mungkin nampak agak baik,walhal tujuannya tetap sama dan ianya tetap salah. Niat baik itu tidak pernah menghalalkan cara. Yang batil tetap batil. Yang haq tetap haq. Allah pernah berfirman :

“Dan (juga) kaum Ad dan Tsamud, dan sungguh telah nyata bagi kamu (kehancuran mereka) dari (puing-puing) tempat tinggal mereka. Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.” (Surah Al-Ankabut,29:38)

Kalau difahami ayat ni, sebenarnya apa yang berlaku pada saya ialah, syaitan telah buat saya pandang baik pada perkara buruk yang saya lakukan. Memang pada mulanya niat saya baik, tapi syaitan itu sangat licik. Dia akan sedaya upaya buat saya terjerumus ke dalam kemaksiatan.

Matlamat baik saya itu tidak pernah menghalalkan cara saya. Selama hampir setahun saya leka dengan perasaan ini sendiri, akhirnya saya menyedari kesilapan yang telah saya lakukan ini. Saya terlalu asyik dengan cinta ini sehingga saya terlupa pada Pemilik Cinta yang sebenar. Sungguh, saya rasa terlampau berdosa dengan diri ini dan dengan dirinya sendiri. Saya telah menjadi fitnah bagi dirinya , kerana sedikit sebanyak saya telah melalaikan hatinya. Walaupun antara kami tidak pernah punya apa-apa yang istimewa , tapi saya tahu yang saya telah banyak menyusahkan dan meresahkan hatinya. 



Saya panjatkan kesyukuran kerana Allah swt mengurniakan hidayah-Nya pada saya dan saya kembali menyedari kesilapan yang saya lakukan. Silap saya kerana punya cinta ini dihati. Tidak seharusnya saya begitu mudah melafazkan cinta dan meluahkan rindu. Saya seharusnya sedar pada siapa harus saya lafazkan cinta itu..hanya utk Allah ,Pemilik Cinta Teragung dan rasul-Nya.

Terus-terang saya katakan yang saya jadi malu dengan diri saya sendiri, dengan Allah dan dengan dia sekali. Kini , untuk kembali mencari keredhaan dari-Nya saya tinggalkan cinta di hati saya ini,ia hanya untuk Allah. Itu sebenarnya adalah jalan terbaik bagi saya.

Saya mengaku, saya sering kali terluka dan saya sebenarnya tidak kuat
untuk melakukan itu , tapi saya perlu lawan segala hasutan syaitan durjana ini untuk mencapai keredhaan-Nya. Saya terpaksa berperang dengan hati dan perasaan saya sendiri.

Sewaktu saya mentaddabur Al-Quran, ada satu ayat yang membuatkan saya berfikir sejenak bahawa wajib bagi saya berperang dengan perasaan ini. Saya tidak boleh beri kemenangan pada syaitan dalam peperangan ini. Surah Al-Baqarah, ayat 216:

”Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Kini , segala apa yang pernah ada kaitan antara saya dan dia telah saya simpan. Gambarnya yang saya simpan secara curi-curi, dairi saya yang penuh dengan catatan berkenaan dirinya, tudung pemberiannya dan semua sms nya yang saya simpan dalam buku, saya simpan di dalam kotak. Hanya satu saja pemberiannya yang saya pegang dan bawa kemana-mana saja , saya tidak tegar
untuk menyimpan pemberiannya yang itu di dalam kotak. Nak tahu apa?

TAFSIR AL-QURAN pemberian dari dia. Tafsir Al-Quran yg berwarna coklat itulah yang banyak memuhasabah diri saya. Kerana Al-Quran itulah saya akhirnya sedar akan segala kesilapan saya. Jadi, TIDAK MUNGKIN saya simpan dan ‘tutup’ Al-Quran itu
untuk selama-lamanya.

Dia kini sudah tamat diplomanya di Bangi dan alhamdulillah saya sudah tidak bertemu lagi dengannya. Dan dia pun sudah melangkah satu lagi fasa dalam proses mencari ilmunya , dimana dia sudah menyambung ke peringkat degree di Shah Alam. . tapi insyaAllah saya yakin dia bahagia sekarang kerana doa saya
untuknya sentiasa ada agar dia berada dalam naungan cinta Illahi. Apa yang terjadi antara saya dan dia kini hanya kenangan. Bukanlah bermaksud saya putuskan ikatan persahabatan yg terjalin antara kami ..tidak..!! Haram untukk seorg muslim memutuskan silaturrahim dan menjauhi sahabatnya. Sampai kiamat pun , dia tetap sahabat saya dunia dan akhirat. Tapi dia pernah menyatakan pada saya bahawa ini yang terbaik dan saya terima dengan senang hati keputusannya itu. Cuma saat ini biarlah hanya Allah di hati saya dan biarlah masa yg tentukan siapa dia pada saya di masa hadapan.

"Jika seseorang hamba Allah menahan keinginannya dari sesuatu yang haram (kerana Allah) maka Allah akan memberikan sesuatu yang diingininya itu mengikut jalan yang halal"

Saya tahan keinginan di hati ini kerana saya yakin Allah akan kurniakan sesuatu yang halal bagi saya. Semoga satu hari kelak saya akan berjumpa dengan “putera agama” saya yang akan dapat menambahkan lagi cinta saya pada Illahi.
 



>>>>>>>ILUVISLAM<<<<<<<

Saturday, October 2, 2010

TUGASAN GE2153....TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN....

Salam Ukhwah...Jika kita lihat pada hari ini, majoriti guru-guru di sekolah terutamanya di bandar menggunakan kecanggihan teknologi sebagai Alat Bantu Mengajar (ABM) dalam proses p & p. Malah begitu juga dengan guru PIBA/PIPAQ yang turut mengaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, bagi membantu mereka dalam meningkatkan keberkesanan dalam matapelajaran Pendidikan Islam mereka perlu mempunyai perlu mempunyai kemahiran yang lebih dalam ilmu teknologi seterusnya dapat mengubah persepsi sesetengah pihak yang memandang rendah terhadap guru-guru ini kerana kurangnya pengetahuan dan kemahiran mereka dalam penggunaan ilmu teknologi. Justeru itu, apakah saranan anda untuk meningkatkan kemahiran guru-guru PIBA/PIPAQ dalam ilmu teknologi?
P/S...Sila sertakan nama dan n0. matrik anda ye....